Monday, November 21, 2016

Meniti waktu

                                                 Assalamualaikum.


Dingin saat ini mencengkam hingga ketulang . Duduk di sudut ruang tamu sambil menyingkap helai demi helai album keluarga dikala buah hati masih kecil. Tersenyum sendiri dan mengimbau kembali kenangan lalu. Ketika umur saya masih muda dan setiap tindakan untuk penjagaan putra puteri kami cuma mengikut gerak hati seorang ibu muda tanpa berpandukan dari bacaan dari media atau petua dari sesiapa. Kami tinggal jauh dari kampung halaman. Perhubungan dengan keluarga sangat terhad. Tiada talipun apalagi hubungan yang canggih seperti sekarang, yang mana semua nya dihujung jari , Alhamdulillah. Bila rindu atau ingin bertanya khabar atau berkirim khabar, dengan keluarga cuma posmen jadi pengantara. Itupun jika rindu semakin sarat dan tidak dapat di bendung .. Aduhai..

 

 Membesarkan anak-anak yang  umur mereka tidak banyak jaraknya antara satu dengan lain, memang mencabar. Lebih lebih lagi bila terpaksa mengurus nya seorang diri. Bila seorang demam, semua nya akan demam. Alhamdulillah, memang Allah Azawajalla tidak akan memberatkan hamba nya melain kan apa yang bolih hamba Nya tanggung. Olih kerana rumah sakit bersebelahan denganh tempat tinggal kami maka kesulitan itu dapat saya tangani walau tanpa suami disisi. Pernah suatu hari anak kami demam panas dan muntah-muntah. Cemas tika itu Allah sahaja yang tahu. (Barangkali jika suami berada di dalam pangkalan mungkin kurang sikit rasa cemas ) Setelah bersiap lebih kurang, saya bawa kesemua anak kerumah sakit. Selesai urusan di rumah sakit tersebut, kami berjalan perlahan kerana keletihan. Tiba-tiba baru perasan bahawa sandal yang ku pakai bukan pasangan yang sama !!! . Aduhai mengapa tiada yang menegur  waktu itu ? Sedih dan malu saat itu tapi menjadi kenangan manis saat ini.




                             


Bila anak-anak sudah bersekolah, tanggungjawab mula bertambah sedikit demi sedikit. Dari mula buka mata waktu pagi hingga tutup mata kembali.. cerita yang berlainan setiap hari disamping tugasan/tanggungjawab yang sama setiap hari.Saat paling mengembirakan anak-anak ialah apabila menunggu kepulangan ayahanda mereka atau saat saya bacakan surat dari suami apabila beliau berlayar lama. (Dia akan poskan surat/poskad setiap kali kapal berlabuh dipelabuhan).





Kini, semuanya telah dewasa dan telah ada yang berumah tangga. Giliran kami pula merasai erti rindu bila berjauhan dan terpisah dari mereka. Ditambah pula bila teringatkan  cucu. Tika mereka datang menzirahi kami, terkenang kembali saat mereka masih kecil. Walau jauh berbeza cara kami mendidik mereka tetapi tujuan nya tetap sama. Ingin mereka membesar dengan beradap, sihat, cerdas dan berjaya didunia dan akhirat. Tanpa petunjuk dari Allah Azawajalla serta doa ,pengorbanan dan kesabaran mana mungkin kita dapat apa yg kita inginkan. Sudah menghampiri 34 tahun melayari bahtera berumahtangga, namun masa seperti cepat berlari. Sesekali rindu saat anak-anak masih kecil setiap kali terpandang cucu-cucu kami. Ah, mana mungkin masa berputar kembali..




Wahai Tuhan Kami ! Berilah rahmat dari-Mu kepada kami dan sempurnakan petunjuk yang lurus dalam urusan kami.

Allahumma Amin.






Share: