Friday, November 21, 2014

menunggu dibangkitkan

Assalamualaikum

 Menunggu dibangkitkan....... 
 Bagaimana saya ketika itu  ? Apakah telah sebati dengan tanah , daging dan tulang belulang atau tulang-tulang masih berkeadaan baik susunan nya atau bagaimana ? Semua itu ada lah rahsia Allah.. Jadi bagaimana keadaan roh dan jasad saya tika itu ? Semua itu tidak dapat saya bayangkan kerana saya tika itu telah berada dialam lain... iaini Alam Barzakh... itu pun jika jasad kaku saya nanti tempat nya didalam pusara. Jika Allah berkehendakkan yang lain, siapa saya untuk menolak nya ?. sebenarnya  yang ingin saya coretkan cuma bagaimana keadaan kubur saya nanti apabila saya telah dimasukkan keliang lahad... bersemadi dialam Barzakh, sementara menunggu waktu dibangkitkan semula...

Sunyi betul saat ini...Ketika saya menulis, saya sihat dan masih dalam berfikiran waras.. Tiba-tiba rasa ingin menulis tentang KUBUR . Ayah, bonda dan saudara saya telah pergi buat selama nya. Rindu dan igatan pada mereka Allah sahaja yang tahu.  Ramai orang jika rindu pada yang telah meninggal dunia atau di hari2 tertentu mereka akan melawat kekuburan, berdoa dan mengaji.. Saya tidak akan ulas tentang itu .. terpulanglah atas apa yang mereka faham....

Kali terakhir saya berada dikawasan tanah kubur adalah semasa pengebumian bonda saya lewat setahun lebih yang lalu... Memang telah lama sangat saya tidak jejakan kaki kesana setelah ayahanda saya dikebumikan disitu.. Keadaan kubur-kubur disitu banyak berubah dan hampir penuh. Keadaan itu tidaklah menjadi keresahan saya sebenarnya. Jika penuh disitu, tentu ada tempat lain yang kerajaan wakafkan untuk dijadikan Tanah Perkuburan. Saya menjadi  terkesima bila lihat keadaan kubur-kubur disitu ... bertambah sedih lagi bila  'talkin' dibacakan dan sesudah nya. Ya Allah ampun kan kami, kami  tidak berupaya menyuruskan sendiri bonda kami walau buat kali terakhir bagaimana yang  selayak nya...

Waktu tersebut matahari memang terik , walau baru jam 11.30 pagi. Saya lihat ada yang menyangkung, berdiri dan lebih menyedihkan ada yang duduk-duduk diatas kubur yang telah ditinggikan 'bingkai' nya olih 'yang belum mati'. Rasa ingin pergi menyapa supaya jangan duduk diatas kubur-kubur tersebut...  Tetapi niat mati begitu sahaja... kerana mereka semua telah letih megurusi pengebumian. Orang tua saya pula ... Allah , ampun kan saya. Saya tidak berupaya saat itu..



Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:Jika kamu duduk di atas bara api, lalu terbakar baju dan kulitmu, itu lebih baik bagimu daripada duduk di atas kubur.

Setelah selesai semua nya, saya menyelusuri lorong lorong kecil antara kubur.. keadaan kubur pula tidak sama besar... ada yang berbumbung, berpagar dan ada juga kuburan yang telah disediakan bangku dari marmar atau batu batu yang cantik.. ada juga ditengah-tengah kubur tersebut ada tersedia 'Vase' yang dibuat dari mamar... Aduhai.. Didalam hati , " beginikah cara nya anda melahirkan rasa cinta anda pada keluarga anda yang telah meninggal dunia ?" 

Sebelum pulang ke Dungun, sempat saya berpesan pada saudara saya, agar kubur bonda  nanti dibuat bagaimana yang sepatut nya. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang dengan tegas menembok dan mencat kuburan dalam sabda beliau (yang artinya):

“Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu ia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang mencat kubur, duduk diatasnya dan membangun di atasnnya.” [HR.Muslim]

Dan bagaimana kesudahan saya nanti.... ???? 
kerana itu bukan urusan simati... tetapi urusan yang masih hidup.... Ya Allah, bantu waris-warisku jauhi yang Kau tegah . Amin






Share:

Thursday, November 20, 2014

Setelah hujan


Assalamualaikum.

Telah seminggu bumi Dungun ditimpa hujan. Petang tadi telah berhenti nampaknya... Saya ambil kesempatan turun ke tanah untuk lihat tanaman. Dah lama rasanya tidak di jenguk. Arnab pun sehari sekali saya tambah makanan mereka. Kesian sungguh bila mereka kunyah makanan laju-laju....






lihat lah pokok selasih saya. Dah terlampau lama dalam pasu.. hidup segan mati tak mau nampak nya... Selepas musim hujan nanti ingin semai semula... Insyaallah..  Pokok yang berbelit di pagar ini saya ambil benih nya dirumah kawan lama kami di Pahang ( Lepar ). Saya cucuk beberapa keratan, tapi cuma hidup dua keratan sahaja. Namun, sekarang, subur nampak nya...Cari maklumat tentang tumbuhan ini.. ini lah nama sebenar pokok yang berbelit dan sangat pahit diatas :

Nama : Patawali/Putarwali
Nama lain: Akar Seruntun /Brotawali/Batang Wali





Ditepi pohon pisang diatas ada sepohon malberi. Tinggi nya hampir nak menyamai pokok pisang yang sedang berbuah. Namun yang sedih nya tidak berbuah-buah hingga sekarang. semasa pohon kecil dan didalam pasu pernah berbuah walau tidak banyak.. Telah setahun di alih ke tanah, pohon menjadi besar dan tidak pernah meengeluarkan bunga lagi. Nampak nya saya cuma menafaatkan pucuk-pucuk yang masih lembut untuk cicah sambal belacan... sedap !!!. Kalau ada petua untuk pohon malberi saya ini berbuah, alangkah bagus nya.Lihat lah daun-daun pisang yang dah kering, belum sempat di buang lagi... 




Tiga tandan pisang sedang berbuah. Harap-harap pisang-pisang tersebut tidak masak serentak . Pohon mangga pun sedang lebat berbuah tetapi yang jatuh ketanah pun hampir sama dengan yang diatas pokok. Mungkin tiada rezeki kali ini. Insyaallah lain kali bolih merasa buah nya yang manis. Saya tidak tahu buah mangga ini dari baka apa. Jika masak diatas pokok dan tiada serangan kumbang buah, berat buah nya bolih mencecah 1 kg lebih. Yang muda pun tidak masam seperti yang  kita selalu makan... Nak kutip buah-buah yang jatuh untuk buat 'juruk mangga asam boi' pun tidak berapa sesuai, kerana masih putik sangat...  Mudah- mudah an musim hujan kali ini tidak merosakkan pohon serai  saya seperti tahun-tahun yang lalu.... Apa pun saya redho.. kerana selepas musim hujan, tanam lagi...  :)



حدثنا قتيبة بن سعيد حدثنا أبو عوانة ح وحدثني عبد الرحمن بن المبارك حدثنا أبو عوانة عن قتادة عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال ) قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ما من مسلم يغرس غرسا أو يزرع زرعا فيأكل منه طير أو إنسان أو بهيمة إلا كان له به صدقة(

Maksudnya: Dari Qatadah dari Anas r.a, dia berkata , ‘ Rasulullah s.a.w bersabda, “ Tidaklah seorang Muslim menanam tanaman atau menumbuhkan tumbuhan lalu dimakan oleh burung, manusia atau haiwan ternak melainkan hal itu menjadi sedekah baginya.”
( al-Bukhari, kitab muzara’ah, bab Keutamaan Menumbuhkan dan menanam tanaman apabila sebahagiannya dimakan, no. 2320)




Share:

Wednesday, November 19, 2014

Sepanjang jalan kenangan.....





Assalamualaikum





Hanya beberapa hari lagi akan menuju penghujung tahun 2014.  Ini bermakna  seminggu lagi genaplah 32 tahun usia pernikahan kami. 26 Nov 1982 .... walau cuma tarikh yang tertera di surat nikah, namun tarik itu tidak mungkin saya lupakan, In Shaa Allah hingga akhir nanti..

32 tahun bukan lah satu tempoh masa yang panjang.. Masih banyak lagi yang harus saya tunaikan untuk suami dan anak anak . Banyak lagi cita-cita yang belum saya capai.... 

Namun hingga saat ini segala pancaroba inilah yang mengeratkan lagi hubungan kami dalam menjalani kehidupan berumahtangga... 

Pun hingga saat ini  saya masih juga  belajar dan cuba memahami ....

KAMU , SUAMI KU.

Jika ditakdirkan hingga akhir usia nanti cita-cita saya tidak juga tercapai kesemua nya, namun saya tetap bersyukur diatas apa yang telah Allah kurniakan dan limpahkan kepada kita
 sekeluarga, kerana saya akur, bahawa itulah yang selayaknya buat saya...






Kelahiran cucu sulung kami juga adalah salah satu pelengkap kebahagian kami sekeluarga. 



" Ya, Allah, Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Wahai Rabb pencipta langit dan bumi, Rabb segala sesuatu yang menerajuinya,aku bersaksi tiada tuhan yang berhak diibadahi selain Engkau. Aku berlindung kepada Mu dari kejahatan diriku, syaitan dan bala tentera nya dan aku berlindung kepada Mu dari berbuat keburukan terhadap diriku atau menyeretnya kepada seorang muslim "

( HR At Tirmizi dan Abu Daud )






Share:

Tuesday, November 18, 2014

e-mail buat Delisha Shakirah.

Assalamualaikum

Hari ini baru bertenaga semula untuk menulis sesuatu di dada Bakawali-dkey .... lima bulan terbiar sepi tanpa coretan. Petang tadi duduk di kerusi kegemaran saya sambil melihat kiriman lama dan gambar cucu pertama kami, tiba-tiba ada sesuatu yang berat ingin tumpah dari kelopak mata  ini. Rindu kah itu ? Saya rasa bukan... malah lebih dari itu.. Tapi apakah. perasaan yang sedang  menyelinap di ruang dada ini.. 

Setiap hari pasti ada foto dan rakaman vidio serta khabar yang di hantar olih anak kami.... seolah-olah Delisha Shakirah berada dihadapan kami walau kami tidak dapat menyentuh dan jauh sekali untuk merangkul nya... Esok, genaplah umur Shakirah lima bulan.






Bila buka email...... terlihat masej pertama yang saya hantar pada Shakirah. Email yg di'cipta' olih bonda Shakirah.. Tiba-tiba air mata tumpah tanpa saya sadari... Apakah saat Shakirah sudah mula pandai membaca email nanti, saya masih ada disini.. untuk membalas email-email dari nya.... 



 (terdapat ejaan yang salah... Harap Shakirah tak kerut dahi nanti.. )   


                                                    ( ini email yang seterusnya..... )



Dan
Di luar hujan pun semakin lebat...... 


         

مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللهِ وَرَحْمَتِهِ


"Kami diberi hujan kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya ."


                     

Share:

Saturday, June 14, 2014

Sunday, May 4, 2014

Thursday, April 24, 2014

sayur pedas buah gajus


Assalamualaikum.. 

 Musim buah gajus kah sekarang ini..? Buah gajus bermusim juga kah ?... saya tidak tahu..tetapi dipasar dan ada budak datang kedai untuk jual buah gajus... Kelmarin suami bawa balik 2kg buah gajus .. Sudah hampir maghrib dia pulang dari kedai nya.  Saya terdengar dia bercakap di talipon dengan sesaorang. Selesai bercakap dia pun beritahu saya bahawa dia tanya adik dia bagaimana untuk masak pedas buah jambu gajus. Masak pedas ? huhhhh tidak pernah makan pun.. sedap ke ? Tiba-tiba suami teringin makan sayur dari buah gajus tersebut. Biasa nya dahulu, pernah dia ajar saya masak Sayur Lemak Buah Gajus . Hmm. bolih tahan juga rasa nya. Sayur Pedas.. mamang saya belum pernah rasa apa lagi memasak nya...

 Setelah dia beritahu saya cara-cara membuat nya, setelah selesai Solat Maghrib, minum air sedikit dan jam 8 malam dia pergi sambung kerja di kedai runcit kami. Malam tadi saya off...hehehe. Tidak ikut ke kedai seperti biasa..Nampak gaya sup sayur campur yang saya buat sebelum itu, terpaksalah saya habiskan sorang-sorang.. 

Bila selesai menyayur..Berdebar-debar pula rasa dada ni.. betul ke resepi ni ? Aduh, saya tidak tahu rasa sebenar buah tersebut bila dimasak sedemikian.. Asyik tengok jam didinding, sambil rasa lagi.. cuak pun ada, mana lah tahu kalau tidak sama seperti Allahyarhamah mertua bikin..

Jam sebelas malam baru suami pulang. minum seteguk air, bersihkan diri dan tunai kewajipan.. setelah usai solat, tudung saji dibuka.. jeng..jeng.. bedebar lagi dada... saya senduk kan nasi kepinggan.. suami sudu kuah kemulut... Saya bertanya; " abang, jadi ke ? maaf saya tidak tahu rasa sebenar.." Dia sudu lagi kuah kemulut.. ambil sayur letak diatas nasi.. " Macam ni lah rasa nya... ". Huhhhh .. lega. Malam tadi suami makan seorang diri dan saya mengadap nya...  ( Saya kenyang meratah sup sayur sebelum itu...).

Sambil makan, suami pun bercakap.." nanti saya nak cari bunga dedap.. dahulu mak,masak lemak bunga yang belum kembang " saya pun jawab; " mak pernah cerita dahulu, tapi saya belum pernah makan.."

 Tiba-tiba teringat Allahyarhamah mertua.. dan saya dapat rasakan suami pun tengah merindui nya.. sepertimana saya pun tengah merindui mereka semua, .... mertua dan orang tua kami yang telah pergi buat selama nya.


                            

kg sg udang.





































































































Share:

Saturday, March 8, 2014

Ombak...


Assalamualaikum

Angin kering dan panas... Syukurlah ,kita masih bolih lagi bernafas walau kebakaran dan jerebu disana sini. Kebelakangan ini waktu subuh dan sebelum matahari mengeluarkan cahayanya... bukan lagi suasana yang paling mendamaikan bila jendela atau pintu rumah dibuka... jarak pandangan memang terbatas dan udara yang dihirup seperti ditambah dengan perasa....Asap... 

Dan.. sambil duduk diam-diam dalam rumah dengan jendela semua tertutup... mari bayangakan duduk-duduk tepi pantai menikmati deru ombak yang mendamaikan...







Share:

Thursday, March 6, 2014

Anugerah dari pancaran Sinar Mu....




Assaalamualaikum... sebelum kedapur... ingin kongsi diantara pokok-pokok bunga yang masih tinggal  dihalaman rumah... Banyak juga yang mati akibat selalu ditinggalkan suatu waktu dahulu....  Insha Allah nak pupuk balik 'kerajinan'.... terhadap pokok-pokok tanaman ni...  harap tidak lah tinggi lalang dari pasu... Cheewahh...... Ada banyak lagi pasu kosong yang minta diisi semula...  Aduh... tunggulah bila bahang matahari tak berapa menyengat sedikit masa lagi nanti...


                                                                





           pokok bunga raya..... memang patut ada disetiap rumah. Banyak kegunaan nya ni.. terutama jika demam panas.. khasiat yang lain bolih rujuk pada yang pakar..





                            Ni pokok Nenas Batu. Dah hampir 2 tahun tanam... baru nak berbuah.. kakak saya yang kasi ni.. Banyak juga kegunaan dalam perubatan tradisional.. tp saya tak ingat apa dia.. saja-saja tanam.. pun kena rujuk pada yang pakar... kalau sesiapa yg berhajat... silalah datang rumah ye..





                           Pudina....  tumpang kat pasu bunga lain... sebab pudina cepat mati jika jarang di ambil pucuk nya... sedap jika dicampur dalam teh O panas.. menyegarkan...




                        bunga ni semua tahu apa nama nya... semenjak letak kulit bawang .. dia dan geng2 nya... tidak berhenti2 berbunga.. Alhamdulillah. jimat duit untuk beli baja...



                dah lebih 17 tahun pokok biru putih ni.. rajin sangat berbunga... wangi pula tu... tapi masih tidak tahu apa nama sebenar nya...he3




                            buah sulung... bolih lah buat masak lomak lado api....




                                    pertama kali berbunga... tidak sabar tunggu berkembang..




         ni pokok kesayangan saya.... walau tidak berbunga.. tapi tetap segar sepanjang masa..






Share:

Monday, March 3, 2014

aksi miow...

Assalamualaikum
kali ni.. layan gambar ni aje lah ye...  miow ni memang rajin bersihkan badan dia.. tapi sendiri jelah ye... tuan dia memang tak kuasa... sesekali tu bolih lah.. hehehe
Share:

Friday, February 28, 2014

Warna jingga di Ufuk Barat

Lusa anak dan menantu akan pulang ke rumah mereka di Keratong. Dua minggu putri kami berkesempatan meluangkan masa bersama - sama kami... dan kelmarin menantu sudah datang untuk bawa isteri beliau pulang..
Petang tadi kami  berpeluang untuk kepantai, bersama ipar dan anak-anak.






Sambil menimati bekalan seadanya... menikmati indah nya anugerah Illahi..Bila senja hampir melabuhkan sayap nya.. kami berangkat pulang..

kali ini, mari kita hayati warna-warna indah menjelang senja...







Share:

Saturday, January 25, 2014

Bandung... kami datang..

Assalamualaikum


Sudah agak lama tidak menulis sesuatu didada BAKAWALI. Awal tahun ini berlalu begitu cepat sekali. Siang dan malam berganti seperti yang ditetapkan olih Allah... Lebih-lebih lagi di sini mengalami suhu yang agak sejuk berbanding  dahulu. Kadang-kadang waktu malam hingga pagi mencecah 21 darjah Cel. Ini membuatkan badan tidak cergas dan banyak 'bergulung' sahaja...  (alasan org malas )  Walau banyak perkara terjadi dan patut diingat atau dicatat dalam diari, namun biarlah ia berlalu dan mengalir bagai air sungai yang deras dimusim tengkujuh...

Kali ini saya ingin ceritakan serba sedikit kisah atau apa sahaja yang terlintas atau yang masih saya ingat sewaktu
lawatan kami di Bandung pada 15 Januari (kami sampai pada jam t0845 -waktu Malaysia).

Hari Pertama:

Ketibaan kami telah ditunggu olih Pak Iwan dan sahabat nya. Mereka berdua memang sangat ramah dan berbudi bahasa tinggi.. Perut kami memang telah sedia menyanyikan lagu keroncong campur muzik rock kapak pun ada... huh !!! Lantas Pak Iwan terus membawa kami ke Restoran Nasi Padang. Pelanggan memang belum ada lagi. Bermakna kamilah pelanggan pertama mereka. Kami dilayan apa yang sepatut nya. Terus kami di beri segelas air suam tiap saorang, sementara mereka selesaikan tugas-tugas terakhir mereka sebelum jualan dimulakan. Nasi dengan lauk yang beranika pada waktu pagi ( lebihkurang jam 0900) memang terlalu berat. Saya dan suami cuma pesan Murtabak Mesir sekeping. Memang puas hati. Rasa dan ketebalan nya bolih kenyang hingga petang !!! Jika anda berpeluang pergi ke sana , cuba lah Murtabak Mesir !!!


                                       (ini antara lauk di Rastauran Nasi Padang..)

                                               (Murtabak Mesir - Gambar Ihsan  )


Selepas makan kami di bawa ke tempat penginapan untuk bersih kan diri serta tunaikan kewajiban... Sekitar jam 1400 kami di bawa ke rumah sulaman. Pergh !!! Rambang mata dibuat nya.. Tetapi hari pertama ini terpaksa jimat dahulu Rupiah yg suami tukar dengan Pak Iwan..(.mungkin esok akan kami tukar di Bank. ) kerana kami ada tiga hari lagi disini. Lagipun saya tidak berapa berminat dengan kain sulam.. susah untuk jaga/basuh  dan macam tidak sesuai sahaja dengan usia saya. Jadi beli beberapa pasang untuk anak-anak perempuan kami. Telekung dan kain pelikat pun ada disini. Yang paling bagus, mereka menyediakan perkhidmatan tempah pakaian pasang untuk wanita dan lelaki. Siap dalam masa dua hari dan terus dihantar ke tempat penginapan..

Dari Rumah Sulaman ini kami terus ke CIBADUYUT... kami cuma ada dua jam disini. Disini terdapat barangan yang dibuat dari kulit. Samada hasil tempatan dan juga dari luar negara.. Harga yang sangat berpatutan.. Tetapi saya tidak beli apa-apa disini kerana barang yang kami cari tidak ada saiz dan bila ada saiz, tidak berkenan pulak. Jadi kami akan cari ditempat lain  nanti.

                                                    ( CIBADUYUT )

Bila hari menjelang senja, kami hanya beli makanan dan makan di bilik penginapan. Cepat sungguh gelap disini, cuaca pun sejuk. Kesian lihat suami yang kesejukan selepas mandi.. Menggigil badan dia semasa hamparkan sejadah  .Setelah usai, saya bancuh kopi 3 dlm 1 panas-panas dan beri kepada nya.. " Kita minum dulu ". satu untuk saya dan satu untuk suami jutawan ku....hahaha ( RM 300 ) dah jutawan apa.. hik !

Hari kedua :

Solat subuh hampir sahaja terlewat, rupa-rupanya jam 0415 azan sudah berkumandang... saya terjaga sekitar jam 0430. buru-buru saya kejutkan suami. Selepas itu sambung baring lagi. Sudah nampak tanah dan matahari malu-malu mengeluarkan cahaya, baru kami bersiram. itupun masih sejuk , walaupun mandi air panas. Jam 0730 kami turun untuk bersarapan.. Wah.. menu utama nasik dan lauk pauk nya...  soto, mee goreng. bubur nasi dan roti... pilih lah mana suka...


Setelah bersarapan, rombongan kami bergerak ke  Kantuban Perahu. Perjalanan agak jauh juga. Jalan sesak teruk. Namun saya tabik spring dengan pemandu-pemandu di sini. Mereka sangat cekap dan sangat berhati-hati.. Saya cuma ternampak hanya satu lampu isyarat sepanjang perjalanan kesana.. Suasana yg nyaman dan sejuk, walau gunung berapi tersebut masih mengeluarkan wap panas nya... Mashaallah !!!




                            



Rambongan kami hanya sebentar disana. selepas mengambil gambar dan melayan kerenah jurujual yang 'tersangat lah ramah nya'....." awas buk jangan sampe tepedaya.... mahal dong harganya  "; pesan pemandu pelancung kami.. hahaha. Buah stroberi dan blueberi yang ditanam di kawasan sekitar sini  memang manis, dan tiada tandingan rasanya.... Tetapi harga nya mahal lah sedikit dari yang ada dijual di tempat lain..   

Rencana kami selepas ini adalah ke Pasar Pekan Baru.  Sebelum itu kami berhenti dikaki bukit Kantuban Perahu.. Minum jus Stroberi dan lepak-lepak dikebun Stroberi... Nyaman dan segar !!!


 

   Perjalanan diteruskan lagi kali ini kami berhenti di Pasar Terapung. Tiket diambil dan ditukar dengan segelas kopi panas.. Huuuhhh.. memang lazat!!!  . Saya tidak menyertai kawan-kawan yang lain untuk keseberang sana untuk membeli cenderahati.. masa dihabiskan untuk mengambil gambar....






           

.
Azan telah berkumandang. Sekitar jam 1215 waktu zohor telah masuk. Cuma saya dan suami yang tidak ikut ke seberang tasik, jadi kami dan  Pak Iwan menuju ke mursola yang sangat sejuk dan cantik.. Mudah-mudahan pihak penguasa disini , letak tirai yang tinggi untuk memisahkan antara lelaki dan wanita... yang lain-lain.. semua ok... tandas yang bersih dan air yang mencukupi...Selesai kewajiban, kawan-kawan yang lain pun sampai
. Selesai di sana, kami bergerak ke tempat makan... Kita makan dulu..... Kami dicadangkan olih Pak Iwan merasai keenakan Nasi Timbel.. Nasi Timbel ? Jom kita tengok apa itu Nasi Timbel, di Restoran Dapur Sangkuriang .



(Tidak dapat saya huraikan dengan tulisan atau ungkapan betapa enak nya nasi ini... cuma yang mampu saya cakap... " hari-hari pun saya sanggup makan makanan ini !!!!" )

Selesai disini, kami pun menuju ke Pasar Baru.. Pak Iwan cakap, kami cuma ada 2 jam disana.. esok kami akan pergi ke sana lagi.. Jadi ,saya dan suami cuma tinjau-tinjau apa yang patut. esok senang tuju ketempat yang ingin kami beli.. Perkara pertama cari kitab yang anak sulung pesan.. ada beberapa kedai buku yang kami lewati, menghampakan.. tajuk yang kami kasi pun tiada pernah terjual...hmm... Dapat saya bayangkan betapa hampa nya dia nanti. Kerana dia tidak pesan apa-apa, cuma itu sahaja...

Bila semua telah berkumpul, kami pun meneruskan perjalanan pulang ke tempat penginapan.  Singgah beli makanan malam dan dibungkus sahaja... Selesai membersihkan diri dan kewajiban, talipon dari pihak hotel  kami terima.. " Ada kenalan bapak sedang menunggu di lobi ..." (Saya turun dahulu, kerana suami ada kewajiban yang wajib di selesaikan dahulu...)

Saya sudah dapat agak siapa.. Ini lah kenangan yang paling indah semasa kami di Bandung. Ingin saya kongsi satu kenangan yang mudah - mudahan tidak akan luput dari ingatan. Saat dipertemukan antara kami. ( saya dan suami ) dengan keluarga suami yang berada di Indonisia ( Bandung).  Pertemuan yang tidak disangka-sangka pada permulaan nya kini menjadi begitu bermakna sekali .


 Insyaallah, dilain kesempatan akan saya tulis lagi tentang hubungan kami dengan keluarga suami yang berada di Indonisia. Mereka sangat mengambil berat antara satu dengan lain dan sangat mesra dan baik hati. Kuih bahulu kering yang di bawa olih Ibu Hanunah, memang sedap sehingga menjilat jari !!!


Hari ke 3 :

kami dibawa ke Pasar Baru.. kami berpisah untuk cari lokasi yang telah diketahui.... Saya dan suami ingin cari serba sedikit ole-ole yang murah-murah.. Hanya hari ini sahaja penghabisan jalan-jalan .. Esok dah nak berangkat pulang.. Jadi nak habiskan Rupiah yang ada dan simpan sedikit untuk makan hari ini  dan esok... Turun tangga tingkat empat, tiba-tiba saya ternampak apa yang dicari-cari.. cuma sebuah itu sahaja terpampang..

Alhamdulillah...akhir nya... Jadi selepas itu beli apa yang patut sahaja. Kerana sebentar lagi waktu solat Jumaat tiba.. Disini tidak payah pergi jauh-jauh untuk menunaikan kewajipan . Kerana terdapat sebuah masjid yang begitu unik .. Masjid yang terletak di bumbung Pasar Baru (Masjid Jami' Uswatun Hasanah ) Bolih memuatkan beribu jemaah dalam satu2 waktu.. Selepas itu kami bergerak ke Trans studio... Disini cuma cuci mata sahajalah... Bukan taraf kita nak belibelah disini.... .. Klu nk beli juga.. baik beli barang yang sama kat negara kita.. x de lah nak berat-berat angkut turun dari kapalterbang... kami terus pulang setelah puas pusing-pusing.. .

Sampai di lobi, ada kiriman dari saudara suami (Sdr Fauzan Abdurrahman )dari Tegal, Jawa Tengah. Sehelai kain pelikat tenunan tangan yang sangat halus dan cantik, hasil dari rumah tenunan tempat dia kerja. Alhamdulillah, mudah-mudahan Allah lipatgandakan rezeki mu.
 Malam nya mereka keluar lagi. Khabarnya akan dibawa ke Herritage.... saya tinggal sorang di bilik. kemas pakaian kedalam beg.. suami ikut sekali kawan-kawan keluar... Sekejap sahaja mereka keluar..kerana tempat yang dituju telah tutup jam 2000.. jadi suami masuk bilik dengan membawa sekotak nasik goreng dan kuih seakan sri muka.. sedap juga... Alhamdulillah. 

Hari Terakhir...

selesai sarapan dan bergambar... kami pun bertolak pulang... Sempat singgah lagi di Pasar Baru. Sempat lagi beli belah ...isk,isk... laju je jalan... suami sempat belikan kasut anak-anak kami... Bolih tahan juga harga kasut kulit disini.. jahitan pun kemas.. bolih tempah pula tu.. sayang.. kami baru tahu !!! Selepas solat di Pasar Baru, kami menuju ke Restotan Nasi Padang lagi... Selepas makan, kami terus ke Bandara....

Dipendekkan kisah.... semua nya berjalan dengan lancar dengan izin Allah, kami sampai di LCCT jam 2010... Terima Kasih kepada penganjur lawatan kami. Dan kepada kawan-kawan  ampun maaf jika ada terkasar kata semasa bergurau senda.... 









                                                      










Share: