Monday, November 21, 2016

Meniti waktu

                                                 Assalamualaikum.


Dingin saat ini mencengkam hingga ketulang . Duduk di sudut ruang tamu sambil menyingkap helai demi helai album keluarga dikala buah hati masih kecil. Tersenyum sendiri dan mengimbau kembali kenangan lalu. Ketika umur saya masih muda dan setiap tindakan untuk penjagaan putra puteri kami cuma mengikut gerak hati seorang ibu muda tanpa berpandukan dari bacaan dari media atau petua dari sesiapa. Kami tinggal jauh dari kampung halaman. Perhubungan dengan keluarga sangat terhad. Tiada talipun apalagi hubungan yang canggih seperti sekarang, yang mana semua nya dihujung jari , Alhamdulillah. Bila rindu atau ingin bertanya khabar atau berkirim khabar, dengan keluarga cuma posmen jadi pengantara. Itupun jika rindu semakin sarat dan tidak dapat di bendung .. Aduhai..

 

 Membesarkan anak-anak yang  umur mereka tidak banyak jaraknya antara satu dengan lain, memang mencabar. Lebih lebih lagi bila terpaksa mengurus nya seorang diri. Bila seorang demam, semua nya akan demam. Alhamdulillah, memang Allah Azawajalla tidak akan memberatkan hamba nya melain kan apa yang bolih hamba Nya tanggung. Olih kerana rumah sakit bersebelahan denganh tempat tinggal kami maka kesulitan itu dapat saya tangani walau tanpa suami disisi. Pernah suatu hari anak kami demam panas dan muntah-muntah. Cemas tika itu Allah sahaja yang tahu. (Barangkali jika suami berada di dalam pangkalan mungkin kurang sikit rasa cemas ) Setelah bersiap lebih kurang, saya bawa kesemua anak kerumah sakit. Selesai urusan di rumah sakit tersebut, kami berjalan perlahan kerana keletihan. Tiba-tiba baru perasan bahawa sandal yang ku pakai bukan pasangan yang sama !!! . Aduhai mengapa tiada yang menegur  waktu itu ? Sedih dan malu saat itu tapi menjadi kenangan manis saat ini.




                             


Bila anak-anak sudah bersekolah, tanggungjawab mula bertambah sedikit demi sedikit. Dari mula buka mata waktu pagi hingga tutup mata kembali.. cerita yang berlainan setiap hari disamping tugasan/tanggungjawab yang sama setiap hari.Saat paling mengembirakan anak-anak ialah apabila menunggu kepulangan ayahanda mereka atau saat saya bacakan surat dari suami apabila beliau berlayar lama. (Dia akan poskan surat/poskad setiap kali kapal berlabuh dipelabuhan).





Kini, semuanya telah dewasa dan telah ada yang berumah tangga. Giliran kami pula merasai erti rindu bila berjauhan dan terpisah dari mereka. Ditambah pula bila teringatkan  cucu. Tika mereka datang menzirahi kami, terkenang kembali saat mereka masih kecil. Walau jauh berbeza cara kami mendidik mereka tetapi tujuan nya tetap sama. Ingin mereka membesar dengan beradap, sihat, cerdas dan berjaya didunia dan akhirat. Tanpa petunjuk dari Allah Azawajalla serta doa ,pengorbanan dan kesabaran mana mungkin kita dapat apa yg kita inginkan. Sudah menghampiri 34 tahun melayari bahtera berumahtangga, namun masa seperti cepat berlari. Sesekali rindu saat anak-anak masih kecil setiap kali terpandang cucu-cucu kami. Ah, mana mungkin masa berputar kembali..




Wahai Tuhan Kami ! Berilah rahmat dari-Mu kepada kami dan sempurnakan petunjuk yang lurus dalam urusan kami.

Allahumma Amin.






Share:

Friday, July 29, 2016

esok

Assalamualaikum.

Semoga jalan yang bakal saya lalui ini berjalan seperti laluan air sungai yang mengalir dengan sendiri nya. Walau penuh berliku tetapi tetap mengalir dengan lancar menuju muara. Sesungguh nya saya tidak bisa mengatur perjalanan hidup ini seperti yang saya ingin kan.  Hanya doa sahaja yang mampu saya pohon kehadrat Mu,Ya Rabb...Bila terjaga esok hari saya bakal menempuh apa yang akan Allah Azawajalla takdirkan untuk saya hari itu. Begitulah seterusnya, sehingga  di jemput pergi. Kerana saya percaya, tiada perancangan yang sebaik-baik nya, melain kan perancangan Mu, Ya Allah.

Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu aku minta pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan kepadaku sekali pun sekelip mata (tanpa mendapat pertolongan dariMu).
Share:

Friday, May 20, 2016

Ragam

Assalamualaikum
Malam ini ingin menulis lagi. Lama sungguh saya tidak menjenguk halaman ini. Tadi dapat lena sebentar bila waktu begini mata tidak bolih dipejam. Pelbagai kenangan datang dan pergi. Kali ini ingin saya tulis sebuah kenangan yang masih lekat dalam ingatan .

Bermacam ragam pelanggan yang datang ke kedai runcit kami sepanjang kami berniaga selama 16 tahun. Tetapi semua nya telah jadi sejarah.

Kisah ini berlaku semasa kedai kami ada menjual rokok (Kami tidak menjual rokok atas kesedaran dan dengan pertolongan Allah. Alhamdulillah )

Pelik betul ,ada yang takut dan ada yang geli lihat gambar di kotak rokok. Tapi rokok yg disedut tersebut tak terasa geli pula. Tapi itu hak mereka , saya tak nk komen banyak. Yang  ingin saya kongsi  ialah gelagat seorang pelanggan yang saya perhatikan..... (catatan dibawah ini berlaku bukan pada hari yang sama, tapi pada pelanggan yang sama )

Pelanggan (lepas kawin).. bila beli rokok :
" Nak yg gambar budak ye.. mahu beli yg kepala kecik, x nk yg kepala besar... "


 S : " Kenapa budak kecik ? Macam-macam  la kau ni.. "

pelanggan : " Budak kecik, rasa rokok lain sikit.. sedap. Yang  lain tak sedap.. lagi pun geli tengok kaki dan leher tu".

S : " macam-macam la..." ( sambil cari gambar budak kepala kecil)...

Pelanggan ( bila dapat tahu isteri hamil) : " Errr... dah tak sedap pulak rasa rokok yang ada gambar budak.. nak tukar selera pulak... nak yg gambar kaki..."

S: "Kejap sedap... kejap tidak... apa yg sebenar nya ni..?"

Pelanggan : " Hmmm...bini aku mengandung la... takut ' kenan' plak nanti... "

Bila isteri da selamat bersalin dan anak pun tiada cacat cela......

Pelanggan: " Nak rokok yg gambar budak kepala kecik..."

Aduhai kadang-kadang nak ketawa pun ada, nak marah lagi lah ada.Tapi pelanggan sentiasa betul... Tuan kedai pulak kena sabar melayan kerenah pelanggan nya...( bukan dia sorang yang berperangai sedemikian, ada beberapa org lagi... )

Mereka mungkin lebih takut dengan gambar dari racun yang beribu-ribu dalam kotak tu... Yang paling mengerikan, mereka lebih tidak takut pelbagai kemungkinan yg bakal jasad mereka tanggung..!


Beberapa hari lagi Ramadan akan datang, Insyaallah. Dengan tibanya nanti, bulan yang penuh dengan keberkatan dan limpahan rahmat ini , mudah-mudahan kita dapat menjalankan ibadah puasa kita dengan baik dan sempurna, dengan makna yang sebenar nya.( Dengan harapan lapar dan dahaga disiang hari nya tidak berlalu dengan sia-sia ).







.....Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik. (QS Al Baqarah ayat 195)















Share:

Thursday, September 24, 2015

Sepotong kek ,seribu kenangan

Assalamualaikum

10 Zulhijjah telah berlalu.
Banyak kenangan akan menjelma bila saya membakar kek ini siang tadi. Resepi yang senang dan bahan- bahan pula, sangat mudah didapati.



 Kek ini nama nya 'Kek Emak'... Jika mak buat masa kami masih kanak - kanak ,mak tidak pernah tengok buku resepi. bahan-bahan nya pula disukat mengguna cawan dan sudu . Mak bakar dalam oven cap rama-rama..diatas dapur minyak tanah,cap rama-rama juga.. Kadang - kadang terhangus dan selalunya, naik sangat cantik dan sedap pula tu. Jika ada kek yang terhangus,  tidak akan tersisa atau membazir. Pendek kata saya dan adik tolong habiskan yang terhangus... Pahit - pahit manis!!! .

Walau rasanya tidak dapat menandingi kek yang emak buat, namun kek ini memang menjadi kesukaan kami. Sekarang hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Mana mungkin dapat merasa kek yang emak buat lagi. Mudah-mudah Allah lindungi mak dan ayah di 'sana' . Amin




.
Share:

Saturday, August 22, 2015

Redho ....






                Cahaya mata ku                         

Walau apa pun yang terjadi pada kelmarin, hari ini dan esok, terimalah dengan berlapang dada. Cuma ingin sekali ibu berpesan , jangan cepat ketawa bila terlalu gembira serta bahagia dan jangan  pula mengeluh dan dukacita bila ujian datang menerpa. Kehidupan ini ibarat roda .. juga ibarat air laut, ada pasang dan surut nya.


cahaya mata ku.... 
Ibu ingin kamu tersenyum dan pandang kehadapan dengan penuh semangat, redho dan yakin  bahawa Allah SWT tidak akan menghukum hambanya  selagi kamu meninggalkan yang ditegah dan menunaikan apa yang di perintah Nya. Jika ada ujian dan rintangan yang datang, adalah semata mata teguran atau amaran dari Dia. Malah ujian itu adalah sangat sedikit dan semampu kamu untuk memikul nya.. Asalkan kamu yakin dan sedar , In Shaa Allah , kamu akan selamat di sini dan di SANA.. 

Ingat lah, setiap insan tidak sama kisah perjalanan hidup mereka. Kerana perjalanan hidup ini penuh teka teki.


“Ya Allah! Aku mengharapkan (mendapat) rahmatMu, oleh karena itu, jangan Engkau biarkan diriku sekelip mata (tanpa pertolongan atau rahmat dariMu). Perbaikilah seluruh urusanku, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.”  :HR. Abu Dawud 









Share:

Sunday, March 22, 2015

Suatu petang di Teluk Gadung


Assalamualaikum,




Shakirah baru nak belajar berdiri. bersungguh-sunguh sekali nampak nya. . Waktu ini umur nya dah sembilan bulan. Bila duduk di hamparan pasir yang terbentang luas tu... mula lah dia geram . Pantang lepa sikit, mulalah nak di suap nya kedalam mulut.
 syakirah,  Syakirah...
 Asyik tersenyum sahaja dia petang jumaat yang indah itu. Sesekali dia menjerit dan menangis...  





Tidak berkelip mata Shakirah bila lihat air laut yang sesekali datang ombak kecil berkejaran menghempas pantai..
Masih ada lagi penjaga membenarkan anak-anak mandi di kawasan yang tidak selamat untuk berenang. Walau ada orang dewasa untuk memantau keadaan anak-anak, tetapi ia tetap merbahaya, manalah tahu, tiba-tiba ombak yang kuat datang .... Ya Allah, lindungi lah mereka. 




 Di bawan ini Shakirah telah bersiap untuk pulang ke rumah ayah bonda nya.... 
Shakirah sayang, bila pulang sekali lagi, harap-harap Shakirah dah pandai berjalan dan berlari .Panas betul Dungun serkarang... Tengok tu Shakirah siap angkat tangan lagi sebab kepanasan...  






Sampai jumpa lagi Shakirah juga tidak lupa buat anak dan menantu. Kami sentiasa mendoakan kesejahteraan kamu sekeluarga .


Share:

Thursday, February 19, 2015

Senyuman Itu


Assalamualaikum.


Hari ini genap lapan bulan umur cucu nenda. Rindu tidak dapat dibendung lagi pada pengarang jantung semua ahli keluarga .... Namun syukur lah setiap hari terima berita walau dari jauh. Terubat juga rindu dihati nenda dan To'Ki bila gambar-gambar Shakirah kami terima . Jangan nakal-nakal ye Shakirah... mudah-mudahan cucunda jadi anak yang solihah, sihat dan pintar.. 

Daripada Aisyah r.a.,dari Rasulullah s.a.w baginda telah bersabda yang maksudnya :
“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan,
lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik,nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)


Share:

Friday, November 21, 2014

menunggu dibangkitkan

Assalamualaikum

 Menunggu dibangkitkan....... 
 Bagaimana saya ketika itu  ? Apakah telah sebati dengan tanah , daging dan tulang belulang atau tulang-tulang masih berkeadaan baik susunan nya atau bagaimana ? Semua itu ada lah rahsia Allah.. Jadi bagaimana keadaan roh dan jasad saya tika itu ? Semua itu tidak dapat saya bayangkan kerana saya tika itu telah berada dialam lain... iaini Alam Barzakh... itu pun jika jasad kaku saya nanti tempat nya didalam pusara. Jika Allah berkehendakkan yang lain, siapa saya untuk menolak nya ?. sebenarnya  yang ingin saya coretkan cuma bagaimana keadaan kubur saya nanti apabila saya telah dimasukkan keliang lahad... bersemadi dialam Barzakh, sementara menunggu waktu dibangkitkan semula...

Sunyi betul saat ini...Ketika saya menulis, saya sihat dan masih dalam berfikiran waras.. Tiba-tiba rasa ingin menulis tentang KUBUR . Ayah, bonda dan saudara saya telah pergi buat selama nya. Rindu dan igatan pada mereka Allah sahaja yang tahu.  Ramai orang jika rindu pada yang telah meninggal dunia atau di hari2 tertentu mereka akan melawat kekuburan, berdoa dan mengaji.. Saya tidak akan ulas tentang itu .. terpulanglah atas apa yang mereka faham....

Kali terakhir saya berada dikawasan tanah kubur adalah semasa pengebumian bonda saya lewat setahun lebih yang lalu... Memang telah lama sangat saya tidak jejakan kaki kesana setelah ayahanda saya dikebumikan disitu.. Keadaan kubur-kubur disitu banyak berubah dan hampir penuh. Keadaan itu tidaklah menjadi keresahan saya sebenarnya. Jika penuh disitu, tentu ada tempat lain yang kerajaan wakafkan untuk dijadikan Tanah Perkuburan. Saya menjadi  terkesima bila lihat keadaan kubur-kubur disitu ... bertambah sedih lagi bila  'talkin' dibacakan dan sesudah nya. Ya Allah ampun kan kami, kami  tidak berupaya menyuruskan sendiri bonda kami walau buat kali terakhir bagaimana yang  selayak nya...

Waktu tersebut matahari memang terik , walau baru jam 11.30 pagi. Saya lihat ada yang menyangkung, berdiri dan lebih menyedihkan ada yang duduk-duduk diatas kubur yang telah ditinggikan 'bingkai' nya olih 'yang belum mati'. Rasa ingin pergi menyapa supaya jangan duduk diatas kubur-kubur tersebut...  Tetapi niat mati begitu sahaja... kerana mereka semua telah letih megurusi pengebumian. Orang tua saya pula ... Allah , ampun kan saya. Saya tidak berupaya saat itu..



Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:Jika kamu duduk di atas bara api, lalu terbakar baju dan kulitmu, itu lebih baik bagimu daripada duduk di atas kubur.

Setelah selesai semua nya, saya menyelusuri lorong lorong kecil antara kubur.. keadaan kubur pula tidak sama besar... ada yang berbumbung, berpagar dan ada juga kuburan yang telah disediakan bangku dari marmar atau batu batu yang cantik.. ada juga ditengah-tengah kubur tersebut ada tersedia 'Vase' yang dibuat dari mamar... Aduhai.. Didalam hati , " beginikah cara nya anda melahirkan rasa cinta anda pada keluarga anda yang telah meninggal dunia ?" 

Sebelum pulang ke Dungun, sempat saya berpesan pada saudara saya, agar kubur bonda  nanti dibuat bagaimana yang sepatut nya. 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang dengan tegas menembok dan mencat kuburan dalam sabda beliau (yang artinya):

“Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu ia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang mencat kubur, duduk diatasnya dan membangun di atasnnya.” [HR.Muslim]

Dan bagaimana kesudahan saya nanti.... ???? 
kerana itu bukan urusan simati... tetapi urusan yang masih hidup.... Ya Allah, bantu waris-warisku jauhi yang Kau tegah . Amin






Share:

Thursday, November 20, 2014

Setelah hujan


Assalamualaikum.

Telah seminggu bumi Dungun ditimpa hujan. Petang tadi telah berhenti nampaknya... Saya ambil kesempatan turun ke tanah untuk lihat tanaman. Dah lama rasanya tidak di jenguk. Arnab pun sehari sekali saya tambah makanan mereka. Kesian sungguh bila mereka kunyah makanan laju-laju....






lihat lah pokok selasih saya. Dah terlampau lama dalam pasu.. hidup segan mati tak mau nampak nya... Selepas musim hujan nanti ingin semai semula... Insyaallah..  Pokok yang berbelit di pagar ini saya ambil benih nya dirumah kawan lama kami di Pahang ( Lepar ). Saya cucuk beberapa keratan, tapi cuma hidup dua keratan sahaja. Namun, sekarang, subur nampak nya...Cari maklumat tentang tumbuhan ini.. ini lah nama sebenar pokok yang berbelit dan sangat pahit diatas :

Nama : Patawali/Putarwali
Nama lain: Akar Seruntun /Brotawali/Batang Wali





Ditepi pohon pisang diatas ada sepohon malberi. Tinggi nya hampir nak menyamai pokok pisang yang sedang berbuah. Namun yang sedih nya tidak berbuah-buah hingga sekarang. semasa pohon kecil dan didalam pasu pernah berbuah walau tidak banyak.. Telah setahun di alih ke tanah, pohon menjadi besar dan tidak pernah meengeluarkan bunga lagi. Nampak nya saya cuma menafaatkan pucuk-pucuk yang masih lembut untuk cicah sambal belacan... sedap !!!. Kalau ada petua untuk pohon malberi saya ini berbuah, alangkah bagus nya.Lihat lah daun-daun pisang yang dah kering, belum sempat di buang lagi... 




Tiga tandan pisang sedang berbuah. Harap-harap pisang-pisang tersebut tidak masak serentak . Pohon mangga pun sedang lebat berbuah tetapi yang jatuh ketanah pun hampir sama dengan yang diatas pokok. Mungkin tiada rezeki kali ini. Insyaallah lain kali bolih merasa buah nya yang manis. Saya tidak tahu buah mangga ini dari baka apa. Jika masak diatas pokok dan tiada serangan kumbang buah, berat buah nya bolih mencecah 1 kg lebih. Yang muda pun tidak masam seperti yang  kita selalu makan... Nak kutip buah-buah yang jatuh untuk buat 'juruk mangga asam boi' pun tidak berapa sesuai, kerana masih putik sangat...  Mudah- mudah an musim hujan kali ini tidak merosakkan pohon serai  saya seperti tahun-tahun yang lalu.... Apa pun saya redho.. kerana selepas musim hujan, tanam lagi...  :)



حدثنا قتيبة بن سعيد حدثنا أبو عوانة ح وحدثني عبد الرحمن بن المبارك حدثنا أبو عوانة عن قتادة عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال ) قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ما من مسلم يغرس غرسا أو يزرع زرعا فيأكل منه طير أو إنسان أو بهيمة إلا كان له به صدقة(

Maksudnya: Dari Qatadah dari Anas r.a, dia berkata , ‘ Rasulullah s.a.w bersabda, “ Tidaklah seorang Muslim menanam tanaman atau menumbuhkan tumbuhan lalu dimakan oleh burung, manusia atau haiwan ternak melainkan hal itu menjadi sedekah baginya.”
( al-Bukhari, kitab muzara’ah, bab Keutamaan Menumbuhkan dan menanam tanaman apabila sebahagiannya dimakan, no. 2320)




Share:

Wednesday, November 19, 2014

Sepanjang jalan kenangan.....





Assalamualaikum





Hanya beberapa hari lagi akan menuju penghujung tahun 2014.  Ini bermakna  seminggu lagi genaplah 32 tahun usia pernikahan kami. 26 Nov 1982 .... walau cuma tarikh yang tertera di surat nikah, namun tarik itu tidak mungkin saya lupakan, In Shaa Allah hingga akhir nanti..

32 tahun bukan lah satu tempoh masa yang panjang.. Masih banyak lagi yang harus saya tunaikan untuk suami dan anak anak . Banyak lagi cita-cita yang belum saya capai.... 

Namun hingga saat ini segala pancaroba inilah yang mengeratkan lagi hubungan kami dalam menjalani kehidupan berumahtangga... 

Pun hingga saat ini  saya masih juga  belajar dan cuba memahami ....

KAMU , SUAMI KU.

Jika ditakdirkan hingga akhir usia nanti cita-cita saya tidak juga tercapai kesemua nya, namun saya tetap bersyukur diatas apa yang telah Allah kurniakan dan limpahkan kepada kita
 sekeluarga, kerana saya akur, bahawa itulah yang selayaknya buat saya...






Kelahiran cucu sulung kami juga adalah salah satu pelengkap kebahagian kami sekeluarga. 



" Ya, Allah, Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Wahai Rabb pencipta langit dan bumi, Rabb segala sesuatu yang menerajuinya,aku bersaksi tiada tuhan yang berhak diibadahi selain Engkau. Aku berlindung kepada Mu dari kejahatan diriku, syaitan dan bala tentera nya dan aku berlindung kepada Mu dari berbuat keburukan terhadap diriku atau menyeretnya kepada seorang muslim "

( HR At Tirmizi dan Abu Daud )






Share:

Tuesday, November 18, 2014

e-mail buat Delisha Shakirah.

Assalamualaikum

Hari ini baru bertenaga semula untuk menulis sesuatu di dada Bakawali-dkey .... lima bulan terbiar sepi tanpa coretan. Petang tadi duduk di kerusi kegemaran saya sambil melihat kiriman lama dan gambar cucu pertama kami, tiba-tiba ada sesuatu yang berat ingin tumpah dari kelopak mata  ini. Rindu kah itu ? Saya rasa bukan... malah lebih dari itu.. Tapi apakah. perasaan yang sedang  menyelinap di ruang dada ini.. 

Setiap hari pasti ada foto dan rakaman vidio serta khabar yang di hantar olih anak kami.... seolah-olah Delisha Shakirah berada dihadapan kami walau kami tidak dapat menyentuh dan jauh sekali untuk merangkul nya... Esok, genaplah umur Shakirah lima bulan.






Bila buka email...... terlihat masej pertama yang saya hantar pada Shakirah. Email yg di'cipta' olih bonda Shakirah.. Tiba-tiba air mata tumpah tanpa saya sadari... Apakah saat Shakirah sudah mula pandai membaca email nanti, saya masih ada disini.. untuk membalas email-email dari nya.... 



 (terdapat ejaan yang salah... Harap Shakirah tak kerut dahi nanti.. )   


                                                    ( ini email yang seterusnya..... )



Dan
Di luar hujan pun semakin lebat...... 


         

مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللهِ وَرَحْمَتِهِ


"Kami diberi hujan kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya ."


                     

Share:

Saturday, June 14, 2014

Sunday, May 4, 2014

Thursday, April 24, 2014

sayur pedas buah gajus


Assalamualaikum.. 

 Musim buah gajus kah sekarang ini..? Buah gajus bermusim juga kah ?... saya tidak tahu..tetapi dipasar dan ada budak datang kedai untuk jual buah gajus... Kelmarin suami bawa balik 2kg buah gajus .. Sudah hampir maghrib dia pulang dari kedai nya.  Saya terdengar dia bercakap di talipon dengan sesaorang. Selesai bercakap dia pun beritahu saya bahawa dia tanya adik dia bagaimana untuk masak pedas buah jambu gajus. Masak pedas ? huhhhh tidak pernah makan pun.. sedap ke ? Tiba-tiba suami teringin makan sayur dari buah gajus tersebut. Biasa nya dahulu, pernah dia ajar saya masak Sayur Lemak Buah Gajus . Hmm. bolih tahan juga rasa nya. Sayur Pedas.. mamang saya belum pernah rasa apa lagi memasak nya...

 Setelah dia beritahu saya cara-cara membuat nya, setelah selesai Solat Maghrib, minum air sedikit dan jam 8 malam dia pergi sambung kerja di kedai runcit kami. Malam tadi saya off...hehehe. Tidak ikut ke kedai seperti biasa..Nampak gaya sup sayur campur yang saya buat sebelum itu, terpaksalah saya habiskan sorang-sorang.. 

Bila selesai menyayur..Berdebar-debar pula rasa dada ni.. betul ke resepi ni ? Aduh, saya tidak tahu rasa sebenar buah tersebut bila dimasak sedemikian.. Asyik tengok jam didinding, sambil rasa lagi.. cuak pun ada, mana lah tahu kalau tidak sama seperti Allahyarhamah mertua bikin..

Jam sebelas malam baru suami pulang. minum seteguk air, bersihkan diri dan tunai kewajipan.. setelah usai solat, tudung saji dibuka.. jeng..jeng.. bedebar lagi dada... saya senduk kan nasi kepinggan.. suami sudu kuah kemulut... Saya bertanya; " abang, jadi ke ? maaf saya tidak tahu rasa sebenar.." Dia sudu lagi kuah kemulut.. ambil sayur letak diatas nasi.. " Macam ni lah rasa nya... ". Huhhhh .. lega. Malam tadi suami makan seorang diri dan saya mengadap nya...  ( Saya kenyang meratah sup sayur sebelum itu...).

Sambil makan, suami pun bercakap.." nanti saya nak cari bunga dedap.. dahulu mak,masak lemak bunga yang belum kembang " saya pun jawab; " mak pernah cerita dahulu, tapi saya belum pernah makan.."

 Tiba-tiba teringat Allahyarhamah mertua.. dan saya dapat rasakan suami pun tengah merindui nya.. sepertimana saya pun tengah merindui mereka semua, .... mertua dan orang tua kami yang telah pergi buat selama nya.


                            

kg sg udang.





































































































Share:

Saturday, March 8, 2014

Ombak...


Assalamualaikum

Angin kering dan panas... Syukurlah ,kita masih bolih lagi bernafas walau kebakaran dan jerebu disana sini. Kebelakangan ini waktu subuh dan sebelum matahari mengeluarkan cahayanya... bukan lagi suasana yang paling mendamaikan bila jendela atau pintu rumah dibuka... jarak pandangan memang terbatas dan udara yang dihirup seperti ditambah dengan perasa....Asap... 

Dan.. sambil duduk diam-diam dalam rumah dengan jendela semua tertutup... mari bayangakan duduk-duduk tepi pantai menikmati deru ombak yang mendamaikan...







Share:

Thursday, March 6, 2014

Anugerah dari pancaran Sinar Mu....




Assaalamualaikum... sebelum kedapur... ingin kongsi diantara pokok-pokok bunga yang masih tinggal  dihalaman rumah... Banyak juga yang mati akibat selalu ditinggalkan suatu waktu dahulu....  Insha Allah nak pupuk balik 'kerajinan'.... terhadap pokok-pokok tanaman ni...  harap tidak lah tinggi lalang dari pasu... Cheewahh...... Ada banyak lagi pasu kosong yang minta diisi semula...  Aduh... tunggulah bila bahang matahari tak berapa menyengat sedikit masa lagi nanti...


                                                                





           pokok bunga raya..... memang patut ada disetiap rumah. Banyak kegunaan nya ni.. terutama jika demam panas.. khasiat yang lain bolih rujuk pada yang pakar..





                            Ni pokok Nenas Batu. Dah hampir 2 tahun tanam... baru nak berbuah.. kakak saya yang kasi ni.. Banyak juga kegunaan dalam perubatan tradisional.. tp saya tak ingat apa dia.. saja-saja tanam.. pun kena rujuk pada yang pakar... kalau sesiapa yg berhajat... silalah datang rumah ye..





                           Pudina....  tumpang kat pasu bunga lain... sebab pudina cepat mati jika jarang di ambil pucuk nya... sedap jika dicampur dalam teh O panas.. menyegarkan...




                        bunga ni semua tahu apa nama nya... semenjak letak kulit bawang .. dia dan geng2 nya... tidak berhenti2 berbunga.. Alhamdulillah. jimat duit untuk beli baja...



                dah lebih 17 tahun pokok biru putih ni.. rajin sangat berbunga... wangi pula tu... tapi masih tidak tahu apa nama sebenar nya...he3




                            buah sulung... bolih lah buat masak lomak lado api....




                                    pertama kali berbunga... tidak sabar tunggu berkembang..




         ni pokok kesayangan saya.... walau tidak berbunga.. tapi tetap segar sepanjang masa..






Share:

Monday, March 3, 2014

aksi miow...

Assalamualaikum
kali ni.. layan gambar ni aje lah ye...  miow ni memang rajin bersihkan badan dia.. tapi sendiri jelah ye... tuan dia memang tak kuasa... sesekali tu bolih lah.. hehehe
Share:

Friday, February 28, 2014

Warna jingga di Ufuk Barat

Lusa anak dan menantu akan pulang ke rumah mereka di Keratong. Dua minggu putri kami berkesempatan meluangkan masa bersama - sama kami... dan kelmarin menantu sudah datang untuk bawa isteri beliau pulang..
Petang tadi kami  berpeluang untuk kepantai, bersama ipar dan anak-anak.






Sambil menimati bekalan seadanya... menikmati indah nya anugerah Illahi..Bila senja hampir melabuhkan sayap nya.. kami berangkat pulang..

kali ini, mari kita hayati warna-warna indah menjelang senja...







Share: